~kampung ku indah nan permai~

~kampung ku indah nan permai~

Saturday 6 June 2015

MENJADI SAYA ADALAH SATU PERKARA SUKAR

AKU BEBAS MENULIS 
KERANA 
TIADA SESIAPAN YANG MEMBACA...

Ramai sudah yang seringkali menegur melihatkan keadaan diri aku yang kelihatan lemah selepas begitu cergas bergerak sehari hari. Tapi itu semua bukan kerana aku mengidap penyakit merbahaya tau sedang menunggu saat kematian, tetapi kerana aku hidup untuk mengembirakan orang lain. Hidup untuk memenuhi kehidupan orang lain. Sakit atau tidak tubuh badan aku, lelah atau mengah sekalipun akan ku kuatkan langkah  demi mereka-mereka yang aku sayang. Sesungguhnya kerana aku sayang mereka semua.
Keluarga aku terletak di tempat paling atas. tidak mengira bagaimana rupa keluarga aku sekalipun. itu tetap keluarga aku. 






penat?
ya! memang aku penat. penat dengan kehidupan aku seharian. tapi aku tidak akan mengeluh, kerana itu sudah ketentuan takdir pada kehidupan aku. 


menangis?
ya! aku menangis, kerana aku juga manusia, Tapi itu semua dulu, sekarang rasanya air mata aku sudah kering.

malang?
ya! aku tau aku malang, budak yang tak bertuah, yang malang, tapi aku bangga aku ada ibu yang sentiasa kuat untuk aku, yang sentiasa mendoakan aku siang dan malam tanpa jemu.

gila?
ya! kadang-kadang aku rasa macam nak gila, gila mengejar masa, gila kepenatan, gila ditekan kehidupan dan manusia.

tapi?
tapi pada siapa aku nk marah. ini sudah kehidupan yang aku telah pilih, benarkah aku yg memilih? atau dipilih untuk aku?

sempit?
ya! aku dapat merasakan segala kesempitan mengelilingi aku, kesempitan wang, kesempitan kebahagian, kesempitan waktu dan ruang, kesempitan kelapangan untuk bernafas dan hidup

tekanan?
lebih dari itu telah dan sedang aku rasakan. tertekan dan ditekan, menekan? tidak mungkin aku mampu lakukan. 





masihkan ada persoalan?


persoalan lagi dan lagi. otak aku sudah sendat dengan persoalan. persoalan yang tak pernah ada jawapan yang menyenangkan aku.... hahahahahahha...
NAMUN...................................................................................................................................
BERDIRI NYA AKU KINI KERANA BERKAT DOA DARI INSAN BERGELAR IBU! 




terasa gila apa yang aku tulis

terasa gila dengan jiwa sendiri

gilakah AKU????

Monday 22 December 2014

Terkenang Teman Jauh

Assalamualaikum ...





Entah kenapa, dengan tidak semena-mena semalam tidur hamba di datangi mimpi, mimpi berjumpa dengan seorang teman lama. Teman lama yang pernah menemani hari-hari duka dan hari-hari ceria hamba dahulu. Sudah lama kita tidak bersua, tidak berbicara, tidak bertekak. Rindu pula rasa di hati. Menggamit kenangan lama sewaktu jiwa kita semua masih muda. Tuan hamba banyak membawa ketawa dalam hidup hamba. Walau apa pun sedikit rasa sedih juga dihati kerana sudah tidak ada lagi ucapan hari jadi dari dirinya untuk hamba pada tahun ini. Mungkin kerana dirinya sudah berkeluarga, mempunyai tanggungjawab nya sendiri membuatkan dia lupa dalam keterbatasan waktu. Walaupun sedih namun tidak lah pula hamba merasa marah kerana hamba faham kedudukan kita sudah berbeza sekarang. Masing-masing sudah ada haluan hidup nya sendiri. Namun hari ini banyak waktu yang sesekali wajah tuan hamba dan kenangan-kenangan lama antara kita menerjah ruang minda. 


Wahai teman, Semoga dirimu dan keluarga mu senangtiasa di bawah lindungan dan rahmat Allah S.W.T. Itulah doa hamba saban hari untukmu Teman. Hamba harap semoga ikatan persahabatan yang terjalian antara kita tidak akan putus diheret masa, tidak akan pudar di bilas waktu. Hamba sayang Tuan hamba. Terima kasih menjadi teman hamba. =)


~SEMOGA KITA BERSUA LAGI~

Saturday 6 December 2014

KERANA PULUT SANTAN BINASA

Assalamualaikum w.b.t…

Langkah hamba langkah bersahaja, langkah hamba mendalami kehidupan semua.

Malam ini, terlintas difikiran untuk berbicara soal manusia dan dunia~

Kehidupan kita di dunia ini sememangnya berkait diantara satu sama lain. Tidak kira lah samada berkait antara manusia sesama manusia, manusia dengan haiwan malahan manusia dengan pokok-pokok yang menghijau sekalipun. Cara berinteraksi, cara berkomunikasi, cara kita berbicara merupakan elemen yang sangat penting dalam soal perhubungan. Kata-kata menyambungkan manusia, namun kata-kata juga memusnahkan manusia serta alam semesta.

Bicara~

Manusia biasa seperti kita semua ini pasti nya seringkali berdepan dengan masalah gagal dalam soal berbicara. Samada sedar atau tidak sedar. Pernahkah tuan-tuan semua mendengar bidalan orang tua-tua :


Tuan ketam padi pulut,
Saya ketam padi Jawi,
Tuan berkata sedap di mulut,
Saya mendengar sakit dihati.

Tidak kira lah kita ini sesiapa pon, berdarah raja atau berdarah hamba, bercincin tembaga atau bercincin emas sekalipun, kalau ditoreh kulit ini, pasti darah yang mengalir tetap berwarna merah.  Orang tua-tua suka berpesan, kalau hendak bercakap atau berbuat apa-apa, timbang-timbang lah dahulu baik buruk padahnya.  Jangan sampai lain maksud yang kita sampaikan, lain pula fahaman penerima.

Dalam asyik bergurau senda pun, kena ada batasannya. Samada tuan-tuan semua pernah mengalami atau tanpa sedar tercalar hati sesiapa disekeliling anda, dalam kata-kata gurauan banyak yang boleh menimbulkan duka dari suka. Kita bergelak ketawa kerana bagi kita apa yang kita katakan itu adalah satu gurauan semata. Tetapi di satu sudut kecil hati seseorang entahkan terguris entahkan tidak. Lebih-lebih lagi apabila kita menjadikan kekurangan seseorang itu sebagai gurauan.  Kita sebagai manusia perlu sedar setiap yang ada pada seseorang manusia yang lain itu adalah kelebihan dan kekurangan yang menjadikan seseorang itu istimewa daripada orang lain. Ataupun mungkin ada sesuatu sebab musabab yang besar yang telah menyebabkan mereka terjatuh didalam keadaan sukar atau kekurangan itu. Jangan jadikan kekurangan dia sebagai bahan jenaka. Jangan jadikan kecacatan dia sebagai boneka permainan. Kurang nya dia, cacat nya dia, siapa yang menjadikan nya? Satu soalan yang seringkali lambat untuk atau lebih tepat lagi tidak terlintas langsung didalam benak ramai manusia sebelum berbicara sesedap kata.

tidak terlintas memerli sesiapa, sekadar meluahkan kekesalan kepada senario semasa.


Wednesday 3 December 2014

SEMAKIN LAMA SEMAKIN BERHARGA =)

Jiwa hamba yang begitu mencintai dunia KLASIK seringkali menimbulkan kerutan di dahi mereka-mereka disekeliling hamba . Mungkin mereka hairan melihat generasi muda seperti hamba ini mendengar lagu-lagu klasik, menghabiskan hujung minggu dikala tiada apa-apa yang ingin dilakukan dengan menonton filem-filem klasik. Sesungguhnya semua manusia dilahirkan dengan minat dan kebolehan yang berbeza. Namun begitu, hamba tidak sesekali merasa malu jauh sekali segan kerana itu lah jiwa hamba. Diri yang membesar dengan filem-filem klasik,lagu-lagu klasik.

Lagu-lagu dan filem-filem klasik adalah naskah yang penuh dengan ketertinggian nilai seni budayanya. Bahasa-bahasa yang indah diadun sempurna dengan lenggok irama menjadi halwa telinga para insan yang mendengar.  Indah nya senikata mereka meletakkn martabat yang tersendiri. Sesungguhnya hamba amat kecewa dengan seni masakini yang kelihatannya sudah tidak mampu untuk menghasilkan karya yang mampu dinobatkan sebagai “BERSENI”. Filem-filem lama seperti SRI MERSING, HANG TUAH, TUN FATIMAH serta banyak lagi filem-filem lama yang naskahnya berintikan banyak pengajaran yang mekar sepanjang zaman. Sangat lah ruginya kalau minda-minda anak muda disogok dengan paparan filem-filem dari luar negara yang tidak sedikit pun mempunyai nilai apatah lagi pengajaran. Sekadar hiburan semata-mata. Bertambah buruk apabila di tanah bertuah ini sendiri sudah ketandusan ilham dalam menghasilkan naskah seni yang mengangkat Negara ini adalah TANAH MELAYU yang kaya dengan bahasa, kaya dengan budi, kaya dengan seni nya. Mengapa harus menjadikan filem-filem orang putih sebagai rujukan. Apakah nilai yang anda semua selaku penggiat seni lihat di dalam filem-filem dan lagu-lagu mereka? .  

Namun begitu, hamba berbangga setiap kali melihat masih ada anak muda yang mampu menyanyikan lagu-lagu Melayu lama kita dengan baik dan hampir sempurna. Siapa lagi yang akan memelihara nilai seni keMELAYUan ini jika bukan kita selaku ANAK MUDA BERDARAH MELAYU. Walau sepantas mana pun kemajuan, walau sederas mana pun arus pembangunan, warisan tetap harus dijaga dan dipelihara.


“WARISAN SENI TINGGALAN NENEK MOYANG AKAN REBAH MENYEMBAH BUMI, LENYAP DITELAN SEPI JIKA TIDAK DIANGKAT ANAK PERTIWI”

Tinta aku Anak Melayu

Assalamualaikum pembuka tirai dada penulisan dari diri hamba...

Sudah terlalu lama diri hamba menyimpan hasrat untuk menggerakkan tinta yang menjadi batu loncatan untuk hamba berkongsi buah fikiran, berkongsi rasa dan wacana pemikiran hamba disini..baru sekarang niat ini berjaya ditunaikan. tidak mengharap untuk menjadi idola sesiapa. sekadar menyimpan secebis harapan untuk menjadi seseorang kepada diri sendiri. =)